Salam 'alaikum..
Masa berlalu begitu pantas. Pejam celik pejam celik,
sudah hampir kita di penghujung tahun 2011. Tahun hadapan, lembaran baru aku
dibuka. Tanggungjawab serta tekanan pasti akan menambah - hanya persoalannya
berteras sama ada kita mampu menanganinya atau sebaliknya. Terdapat beberapa
perkara yang ingin kukongsi bersama:-
1) Hari Nadi Furqan
2) Hari Perbayu
3) Keputusan Peperiksaan Akhir Tahun
4) BBQ/Perkhemahan
1) Hari Nadi Furqan
Acara ini berlangsung selama tiga hari. Aku tabik kelab Nadi
Furqan atas kemampuannya melancarkan acara ini. Walaupun terdapat beberapa
kepincangan pada acara ini, namun aku tidaklah begitu menghiraukannya kerana
aku tahu acara ini merupakan suatu acara yang boleh kukatakan agak mendadak.
Tambahan pula dengan ahli exconya yang tidak begitu ramai.
Melalui acara ini, Alhamdulillah, aku telah pelajari
banyak perkara. Walaupun terdapat beberapa perkara yang sudah kuketahui, namun
apa salahnya jika ianya diulangi. Satu kisah yang menyentuh diriku adalah kisah
di mana seorang wanita tua yang hanya menjawab dengan menggunakan ayat-ayat
dari Al-Quran. Sungguh, MaasyaAllah. Sebagai contoh, tika ditanya oleh Abdullah
bin Mubarak, "Bukankah diperbolehkan berbuka ketika musafir?"
Wanita itu menjawab, "Dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu jika kamu
mengetahui (Al- Baqarah 184)."
Sungguh aku kagum dengan wanita itu.
Ya Allah, muliakanlah aku dengan faham dan hafalan,
sehingga aku hafal setiap ilmu dan ayat yang aku dengar.
Ya Allah, muliakanlah aku dengan memiliki suara yang
bagus, sehingga orang yang mendengar ayat-ayat daripadaku bertambah iman dalam
hatinya, meskipun dia berhati keras.
Ya Tuhanku, muliakanlah aku dengan rezeki yang halal.
Berilah aku rezeki dari sesuatu yang tidak kuduga.
2) Hari Perbayu
Hari Perbayu ini berlangsung selama sehari saja.
Alhamdulillah ia berjalan dengan lancarnya, walaupun terdapat beberapa masalah
seperti masalah teknikal. Masalah sampah sarap pun, Alhamdulillah, dapat
diatasi dengan baiknya.
Diacarakan oleh Khidir dari Pra-U 1 dan Munir dari
Menengah 3, acara ini dimulakan dengan bacaan Al-Quran oleh Muhammad Nabil
Johari dari Pra-U 1, diikuti dengan terjemahnya oleh Hidayat dari Menengah 1.
Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah seperti Permainan Balas Pantun.
Formatnya tidaklah begitu formal. Cara permainannya sama lebih kurang seperti
permainan Bomb. Semua kelab boleh kukatakan begitu bersemangat dalam
permainan ini. Syukurku dihadapkan pada Yang Esa.
Selain itu, acara ini juga diserikan dengan
peraduan-peraduan yang tidak kurang hebatnya, seperti Peraduan Spontan,
Peraduan Timbang Bola Takraw bersamping, dan PERBAYU Ekspres. Sungguh, sebagai
Presiden bagi kelab ini, aku amat terharu dengan sambutan yang begitu
menggalakkan.
Di kesempatan ini, aku mewakili ahli-ahliku yang lain,
ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas semua penyertaan kamu yang
menghadiri; yang menjayakan acara ini. Sekali lagi, terima kasih.
3) Keputusan Peperiksaan Akhir Tahun
Alhamdulillah, syukurku dihadapkan pada Yang Esa. Terus terang
kukatakan aku amat terkejut melihat keputusanku. Dua hari sebelum hari mendapat
keputusan itu, aku sampaikan menangis. Tidak terbayang aku apakah reaksi
keluargaku jika aku benar-benar ditahan dari naik darjah. Berbagai-bagai
gambaran negatif bermain di kotak mindaku. Manakan tidak, abang-abangku
semuanya boleh kukatakan telah mencapai ke menara gading. Ada yang sehinggakan mendapat
gred GPA sebanyak 3.8 lagi dalam kursus di Politekniknya.
Walau aku bersyukur kerana berjaya melangkah ke Pra-U2,
namun aku tidaklah begitu berasa sedap hati atas keputusanku. Tidak kusangka
terdapat beberapa guru yang meletakkan jangkaan agak tinggi padaku. Aku
terkejut tatkala mereka mengutarakan perasaan mereka terhadap kertasku.
Ada yang mengatakan, “Nufail, you’ve got the language,
but I just can’t understand what you’re trying to deliver this time.”
Ada pula, “For your case, it’s low, much lower than my
expectations.”
Lebih kurang begitulah seingat aku. Bayangkan reaksi dan
perasaan aku tika dan saat itu. Malu, kesal dan pelbagai lagi. Aku tak nafikan
yang memang, aku tidak memberi 100% dalam ujian akhir ini. Ada kertas yang aku sehinggakan belajar pada paginya tersebut
lagi. Astaghfirullah. Pasti mereka akan merasa sedih dan kecewa apabila melihat pengakuanku begini. Di
kesempatan ini, aku ingin memohon maaf sekiranya aku ada menghampa atau
mengecewakan mana-mana guruku. ‘Afwan ya Asaatizhatii. Sawfa ajtahidu ak-thar
fil mustaqbal insyaAllah.
Seiring dengan topik, aku sedih melihat mereka yang tidak
berjaya untuk melangkah ke Pra-U2. Aku tabik melihat kekuatan mereka dalam
mengharungi dugaan ini. InsyaAllah mereka bakal kekal di Madrasah ini tahun
hadapan. Selamat maju jaya ya !
4) BBQ/Perkhemahan
Perkhemahan ini berlangsung di Masjid Petempatan Melayu
Sembawang. Sungguh ia merupakan suatu pengalaman yang berharga bagiku. Terasa
benar ukhuwwah yang terjalin. Hanya satu masalah yang timbul pada perkhemahan
ini - tanah yang lecak; berpunca dari hujan yang turun pada sebelah petang hari
tersebut. Namun begitu, acara berbeku atau memanggang ayam, udang dan
sebagainya tetap berjalan dengan lancarnya.
Satu pengalaman yang tak dapat kulupakan adalah saat di
mana aku terlihat makhluk halus; walau mukanya tidak kelihatan. Ia berlaku dalam
pukul 2 lebih pagi semasa kami sedang menjalani acara night walk.
Pada mulanya kami berjalan beramai-ramai. Tika ini, tiada
apa-apa aneh yang berlaku. Namun saat ingin pulang ke Masjid, kami bercadang
untuk berjalan berpasangan. Aku dipasangkan dengan Naufal; adik Nabil. Untuk ke
Masjid, terdapat dua jalan – A dan B. Aku dan Naufal mengambil jalan A.
Kumpulan kemudiannya memilih untuk mengambil jalan B, mengakibatkan aku dan
Naufal hanya berdua di lorong A itu. Pada mulanya, memang tiada apa yang
berlaku, kami hanya berbual sesama sendiri. Namun setelah beberapa minit, tiba-tiba
Naufal berkata dengan nada terkejut, “Eh !” Apabila aku bertanya kenapa, dia
hanya berdiam seketika dan terus menyarankan agar kami berjalan sahaja. Kami
pun kemudiannya meneruskan perbualan.
Dalam lorong itu, terdapat satu bahagian di mana cahaya
lampu tidak dapat menembusi belitan dahan yang melengkung. Aku tidak berapa ingat adakah penampakan itu
terlihat semasa kami melalui jalan itu atau adakah ianya terlihat setelah kami
lalu bahagian itu. Apa yang kulihat adalah kain putih di hadapan sebatang
pokok. Aku masih ingat lagi. Masa aku berbual dengan Naufal, tiba-tiba aku
baca, “ Bismillahirrohmaanirrohim, A-‘uuzhubillahiminasy-syaitonirrojim.”
Tubuhnya seakan-akan seorang yang gempal dan besar. Benar perasaan pada masa
itu sungguh lain. Yang peliknya, aku tidaklah merasa sebarang perasaan takut,
bahkan aku menoleh sehingga 3 kali untuk benar-benar memastikan apakah benar
itu hanya kain putih atau sebaliknya.
Setelah sampai di Masjid, aku pun menceritakanlah
pengalaman aku itu dengan kawan-kawanku. Setelah beberapa minit, aku, Naufal,
Hakim dan KZ bercadang untuk melihat sekali lagi lorong itu, untuk benar-benar
memastikan sekali lagi apakah penampakan itu hanya berupa kain putih atau
sebaliknya. Ternyata tiada sehelai kain putih pun di atas pokok yang kulihat
itu.
Tatkala ingin pulang ke Masjid, kami dikejutkan oleh
beberapa ekor anjing serta salakan mereka yang begitu garau tapi sedikit
ganjil, membuat kami mengambil langkah seribu. Anehnya, keempat-empat kami
berlari dalam kelajuan yang sama, tiada yang di belakang, tiada juga di
hadapan; walau ada yang kakinya belum pulih dari kecederaan lalu dan yang
matanya sedikit kabur pada waktu malam. Menakjub bukan? Kuasa Allah. Namun
begitu, tiada seekor anjing pun kelihatan apabila kita menoleh ke belakang tatkala sudah penat berlari. Allahu A’lam.
________________
Wah, rasanya sudah cukup panjang tulisanku kali ini.
Dari itu,
Salam 'alaikum.
p/s: Di musim cuti ini, sementara yang lain keluar bekerja, aku di rumah. Apabila sekolah mula dibuka nanti, aku kembali bekerja.haha.. Semoga dapat kugunakan masa ini dengan perkara yang bermanfaat insyaAllah.