Monday, December 13, 2010

Bersyukurlah.

Assalaamu'alaikum...

Aku dilahirkan putih. Kulitku cerah, sampaikan ada bangsa asing yang mengingat aku adalah anak kepada bangsa Cina. Ibu bapaku pernah menceritakan padaku tentang jururawat-jururawat yang gemar bermain-main dengan rambutku yang kerinting. Pada usia 7-9 tahun pula, kakak-kakak senior mencubit-cubit pipiku. Alhamdulillah, ianya masih segar di ingatan. Waktu itu, apakan daya aku. Hanya biarkan saja. haha.. Tatkala itu, aku masih kecil, masih pendiam, malu-malu lagi. Begitu pantas masa berlalu. Kini, usiaku 17.

Semakin aku membesar, aku mula sedar. Satu demi satu pemberian Tuhan mula 'diambil' semula. Mungkin seketika, mungkin saja hingga ajal aku temui. Mulanya, aku berasa pelik. Mana kulitku yang cerah? Mana sifat pendiamku? Abang-abangku pun ada yang semakin gelap, tapi tidaklah segelap aku. Bila kulihat diriku di cermin, hari semakin hari, wajahku seperti orang Afrika.hehe.. ditambah pula dengan rambutku yang kerinting. Wadduh!

Namun, hari demi hari juga, aku semakin matang. Aku mula sedar akan kepentingan bersyukur. Dengan secara langsung, perkara ini membuatku lebih menghargai seseorang bukan melalui warna kulit. Sebaliknya, keluhuran hati. Bak kata pepatah, "Yang indah itu bahasa, yang baik itu budi."

Dahulu, aku kerap berfikiran bahawa mereka yang berkulit cerah adalah mereka yang beruntung dan sangat bertuah. Setelah aku mula mengalami perubahan sebegini, aku mula faham. Apalah ada pada warna kulit kalau akhlaknya begitu jauh dari apa yang disyariatkan agama.

Allah tidak mungkin akan mengadili seseorang berdasarkan warna kulit. Sesungguhnya Allah Maha Adil. Kupanjatkan syukur padaMu Ya Allah. Semoga aku dapat menjadi insan yang tunak bersyukur pada segala kehendakMu, insyaAllah.

Kulihat sentiasa di kaca televisyen masih ramai manusia bergelimpangan dengan ada yang bertiadakan rumah dan berbaring beralaskan debu. Rawan hati ini melihat tragedi musibah yang mereka alami. Jika diberi peluang, aku ingin sekali membahagiakan mereka. Aku ingin melihat senyuman terukir di bibir mereka. Tawa mereka begitu mahal. Aku tidak dapat menahan sebak tika melihat mereka bersendirian, tanpa perlindungan ayah mahupun ibu mereka. Ingin sekali kutidur bersama mereka, memeluk, memanjakan mereka.

Suara sepi, jeritan batin tiada didengar. Dunia seakan memejamkan mata. Manusia bertebaran di lantai, dengan peluru seakan 'melekat' di badan. Bayi, ibu, anak-anak kecil, semuanya digulingkan. Nilai kemanusian sudah pupus, sudah mati. Bilakah dunia ini akan aman? Bagaikan pepasir di pantai, tenang tanpa tekanan. Ditiup angin ia bertebaran, dibawa air, ia berlarian. Oh Allah, permudahkanlah urusan mereka.

Kita yang di Singapura, begitu bermanjakan hidup yang nian aman.. tiada banyak musibah. Alhamdulillah. Walaupun begitu, kudapat lihat justeru ramai, hatta yang beragama Islam, begitu mudah melanggar atur cara atau hukum-hukum Islam yang boleh dianggap basics. Ya Allah, berilah petunjukmu pada mereka yang masih dahagakan hidayahmu.

Sebelum aku mengakhiri kalamku ini, aku ingin merayu pada sekalian insan termasuk diriku agar sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada. Ingatlah mereka yang susah. Sesungguhnya hidup di dunia ini hanyalah sementara. Kita tidak tahu bila ajal kita akan sampai. Ya Allah, semoga aku digolongkan dalam orang-orang yang beriman kelak.

Assalaamu'alaikum.

No comments:

Post a Comment