Monday, October 2, 2017

Suatu yang baik.

Assalamu'alaikum,

Adakala, aku tertanya sendiri, apa sebenarnya takrifan bagi sesuatu yang dinilai baik itu. Sebagai seseorang yang late bloomer, aku mula sedar sekarang yang aku telah jauh berada di belakang dari sudut maklumat-maklumat berguna. Justeru segala yang kurasakan ada faedah, akan kumula catit dalam diari hidupku sebagai suatu yang aku nilai sebagai 'baik'. Kadang perkara yang dinyatakan itu kecil saja, tapi sudah cukup besar bagi aku yang sudah jauh terdampar di belakang. Itulah 'baik' bagi aku, iaitu segala yang berguna dan berfaedah, dan entahlah, walaupun aku sentiasa meletakkan diriku jauh di belakang yang lain, aku rasa kadang aku perlu kongsikan pada yang lain. Kadang bukan kerana aku rasakan mereka tidak tahu, tapi sekadar ingin berkongsi betapa gembiranya aku mendapat tahu 'kebaikan' ini.

Mungkin kita boleh pecahkan kebaikan ini, kepada dua. Satu yang berkaitan dengan agama, dan lagi satu adalah yang menjurus ke arah duniawi.

Bagi aku, terutamanya dalam bab agama; baik perkongsian Masyaikh perihal agama(Aqidah, Fiqh, Quran dll), mahupun perkongsian dari segi bahan-bahan bacaan, kitab, tahqiqot dan seumpamanya, aku rasa ianya amatlah penting, dan hatta jika kita sudah tahu sekalipun, catitlah juga, kerana kita adalah insan; makhluk yang senantiasa lupa dan lemah.

Adapun dari sudut duniawi, aku tiada masalah untuk mereka yang mahu terima mahupun menolak. Kalau yang jelas tidak datangkan manfaat untukku ataupun untuk mereka, aku rasa masing-masing punyai hak untuk menolak, tapi semestinya dengan adab.

Kadang aku rasa, saat paling bahagia bagi seorang penuntut ilmu adalah apabila dia berada dalam majlis-majlis agama, halaqah, dan daurah-daurah. Bila kita biasakan diri kita dengan membaca dan menghadiri kelas-kelas agama selain yang di kelas khusus di Universiti, kita akan secara tidak langsung terdedah dengan pelbagai maklumat-maklumat yang dinyatakan berulang kali. Contohnya kita ke daurah Nahu Bahasa Arab, apakah 100% maklumat yang disampaikan adalah baru? Semestinya tidak. Dalam daurah pula, kadang ada sesi soal jawab, dan semestinya akan ada soalan-soalan yang kita sudah tahu jawapannya, tapi tidak sekali-kali akan kuberani untuk katakan,"Alah boring lah, semua aku sudah tahu! Lain kali sudah, sekarang mood takde untuk nk pergi daurah2 ni smue."

Namun, jika difikirkan, ada baik sebenarnya kita hadiri daurah2 ini. Ya, mungkin kadang daurah-daurah ini fokusnya kepada yang asas, tapi cuba kita tanya diri kita, sudah cukupkah ilmu-ilmu asas pada kita? Sekarang kita tolak, tapi bila kita betul-betul perlukannya sebagai 'ulang kaji' untuk mungkin menjawab pertanyaan orang, atau untuk mengajar, masa itulah kita terkial-kial. Bahkan sebenarnya dalam daurah-daurah ini, para masyaikh kadang banyak menyarankan kitab itu dan ini sebagai bahan bacaan. Disarankannya ringkasan untuk kitab sekian2, cetakan sekian-sekian kerana bahasanya mungkin lebih mudah, tahqiq nya baik, komentar bawahnya banyak faedah dan sebagainya, tapi bila awal-awal lagi sudah kita tolak, jangankan terkial untuk memahami bila buka satu kitab, tapi untuk mula baca kitab yang mana pun kita akan terpinga.

Bila aku sudah mula bangun dari 'late bloomer' aku ini, aku mula tertarik dengan kitab. Satu mukasurat saja kadang aku boleh ambil masa yang sedikit lama, kerana aku rasa satu mukasurat itu saja sudah punyai banyak maklumat baru dan segar untuk aku. Mungkin ada yang sudah kutahu, tapi yang menariknya adalah apabila aku rasa, sebenarnya itu adalah teguran daripada Allah untukku sebagai suatu 'ulang kaji'.

Antara yang benar-benar menarik perhatianku adalah dari sudut cetakan dan tahqiqot(pengesahan) serta ta'liqot(komentar) kitab tersebut. Pengaruh buku-buku agama di dunia Arab ini sungguh hebat, dan kerana masih banyak lagi manuskrip-manuskrip karya para Aimmah dan Ulama' kita yang belum ditahqiq sempurna, maka sebahagian pencetak mengambil kesempatan dengan menaip semula karya-karya itu berteraskan satu manuskrip saja, lalu dicetaknya dengan dibuat beberapa takhrij dan hukum hadith (ringkasnya: penisbahan/asal-usul hadith dan status hadith itu)yang sangat ringkas, lalu diterbitkannya. Justeru kadang banyak perenggan yang hilang, dan bahkan jika kita baca, ada kala ayatnya langsung tidak dapat difahami; tergantung dan seumpama.

[Perlu difahami akan keberadaan lebih daripada satu manuskrip ini. Zaman dahulu, tiada istilahnya fotokopi atau scan. Justeru kadang anak-anak murid mereka menulis semula apa yang ditulis gurunya itu. Ini bukanlah perkara yang mudah kerana ada kalanya gurunya itu menulis hingga berjilid-jilid, dan ada kala pula tulisan guru-guru mereka terkena kebakaran, tertumpah air dan sebagai, dan perlu dinyatakan juga tulisan-tulisan para Aimmah dan Ulama ini adanya bukan mudah untuk dibaca. Ibarat tulisan 'doktor' kata kita. Kadang anak muridnya terpaksa membuat ijtihad sendiri atas perkataan yang susah dibaca atau hilang daripada manuskrip asal. Penulisan semula oleh anak muridnya ini pula kemudian akan disalin semula pula oleh orang-orang terkemudian atas sebab-sebab yang pelbagai juga. Justeru jangan sekali-kali kita meremehkan usaha para Ulama' kita dalam mentahqiq kitab-kitab para Aimmah dan Ulama ini. Semoga Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan.]

Justeru, kadang aku suka duduk di perpustakaan, dan buat perbandingan antara cetakan itu dan ini, kadang sampai empat atau enam cetakan, dan bahkan lebih lagi. Memang mangambil masa terkadnag untuk benar-benar dapat nilai, tapi itulah yang membuat aku lagi tertarik, dan apabila aku sudah dapat menilai akhirnya cetakan mana yang terbaik, suka aku untuk berkongsi dengan fulan itu dan fulan ini. Semestinya bukanlah aku kongsikannya kepada semua orang, tapi hatta dengan yang aku pilih itu, pun tidak dihargai, bahkan kadang semuanya menunjukkan reaksi yang seakan-akan 'malas nak layan' atau 'lantaklah kau'. Sedangkan aku memilih orang, dan bukan semua orang hakikatnya.

Kadang aku tertanya, apa tidak baguskah perkongsian-perkongsian berupa kitab ini? Kadang bila dalam kelas sekalipun, bila ada Masyaikh atau para pelajar yang berkongsi sseuatu yang aku sudah tahu, tidaklah aku terus menolak mereka dengan kata-kata yang kurang adab atau dengan muka yang seakan endah tak endah. Sebaik mungkin akan kucuba raikan perkongsian mereka dengan bertanyakan soalan-soalan dan seumpamanya.

..tapi mungkin, setiap orang berbeza, dan mungkin ada sebab mereka berbuat begitu; sakit, late bloomer, ada banyak urusan lain yang lebih penting dan utama, dan berbagai-bagai lagi.

Justeru, aku rasa, ada baiknya aku berdiam saja. Andai mereka hendak tahu, mereka akan tanya. Walaupun kadang bunyinya seakan mereka hanya mencari kita saat mereka perlukan kita, tapi tak mengapalah, biarlah Allah yang uruskan itu. Kadang rasa tawar hati sangat, dan seakan ingin membalas balik perangai 'lantak kaulah' mereka itu kepada diri mereka sendiri, tapi entahlah, mungkin masih ada sisa-sisa belas kasih dalam diriku kepada mereka.

Mungkin mereka rasa sudah sempurna, atau mungkin meraka memang saja tidak minat. Ialah, siapalah kita, gopoh sangat, apa saja ilmu yang kita ada.

Allahu a'lam.
Al-Madinah An-Nabawiyyah.


2 comments:

  1. Pokok pangkal selain memahami ilmu melalui pencerahan oleh penulis2 lain. Ilmu juga pelu dirujuk kpd buku asal idea itu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. yup, perlu banyakkn membace dgn duduk majlis2 ilmu :)

      Delete