Friday, November 26, 2010

Adat resam kehidupan.

Assalaamu'alaikum...

Setarek lahir, kita dibekalkan ilmu serta agama. Pelbagai macam sudah diajarkan. Menghormati, melayan tetamu dengan baik, bersenyum dan sebagainya. Tiada titik noktah pada ilmu yang ditunjukkan.

Tidak dapat dinafikan kita sering dicuba dengan berbagai ujian. Kadang-kadang, kita benar-benar inginkan seseorang untuk berada di sisi mendengar keluhan kita. Yang peliknya, tatkala itu, keluarga seperti tidak mendapat tempat.

Pabila kita dalam kesenangan, bukan main orang berlitar sekeliling kita. Sebaliknya, saat kita dalam keadaan gundah-gulana, sengsai atau nestapa, satu-satu ibarat menghambung-hambungkan kesibukan.

Seringkali kita mengatakan, " Aku adalah aku," atau pada lain istilah, " I am what I am. "

Sejauh manakah kekata kita itu ? Bukankah kita sering dibayangi rakan-rakan kita, yang kemudiannya membuat kita ingin melakukan sesuatu untuk menyenangkannya, walaupun pada dasarnya dia atau mereka tidak meminta pun ? Sebagai contoh, sewaktu di sekolah, kita sering berfikiran bahawa apa yang kita lakukan di'tontoni' atau di'awasi' ramai. Kita akan secara tidak langsung bersifat ibarat pacal yang tunduk pada rajanya. Apa orang suruh buat, kita lakukan, tanpa berfikir dua kali. Bak kata pepatah, "Bagai lembu dicucuk hidung." Nah.. di sini kita dapat lihat, sejauh manakah kebenaran pada kekata "Aku adalah aku."

Seseorang yang bijak seharusnya peka akan perasaan kawan-kawannya. Tidak kiralah kawan baik, mahupun kawan biasa. Hatta orang awam. Memang kadang-kadang, kita umpama dipaksa 'menyuluh' kebenaran itu, tapi bukankah Islam sudah mengajarkan kita agar sentiasa menghormati sesama insan ?

Renungkan-renungkanlah hadith berikut:   
       Daripada Nu'man bin Basyiir katanya, telah bersabda Rasulullah s.a.w.:- 

"Anda lihat orang-orang yang beriman itu dalam (keadaan) saling kasih-mengasihi, cinta-mencintai dan tolong-menolong, seperti sebatang tubuh, kalau ada salah satu anggota terkena penyakit, seluruh batang tubuh ikut menderita tidak dapat tidur dan mnderita panas." ( صحيح البخاري )

Berbalik pada topik. Pabila kita mendapat perhatian ramai, atau dalam istilah inggerisnya (yang sudah dimelayukan) popular, sebilangan daripada kita merasakan bahawa apa yang diujarkan kita tidak menyinggung perasaan, dan pihak yang mendengarkannya seharusnya memahami kata-katanya. Akan tetapi, tidak semua mampu menerimanya. Justeru, saya ingin menasihat kepada pembaca serta diri saya sendiri agar sentiasa 'beralas' ketika berbicara. Usah 'lepas' sahaja. Tidak dinafikan sebahagian daripada kita 'laser'.. tapi bukankah itu merupakan 'tanggungjawab' kita untuk menjaganya?

InsyaAllah jika kita dapat menjadikan sesuatu yang negatif itu luput dari kehidupan kita, nescaya akan aman dunia ini. Kita haruslah menjadikan setiap sesuatu yang negatif itu lupus atau hilang sebagai kebiasaan harian. Pepatah melayu pernah menyatakan, " Habis geli oleh geletek, habis rasa(bisa) oleh biasa. " Sesuatu yang kurang menyenangkan itu akan hilang, apabila sudah menjadi kebiasaan.

Oleh itu, bersamalah kita, menuju ke arah kebaikan. Tidakkah kita berasa senang apabila melihat orang lain terutamanya saudara seislam kita turut bahagia ?

Sampai disini sahaja coretan saya sebagai hambaNya mengenai adat resam kehidupan.
Sehingga bertemu lagi di lain kesempatan.
ps.: Harap maaf atas bahasa saya yang kadangnya tidak dapat difahami. Maklum sajalah, saya hanya seorang pelajar. :)
Wassalaamu'alaikum warahmatuLLahi wabarakaatuh.

No comments:

Post a Comment