Tuesday, August 9, 2011

Hikmah yang dinanti

Assalaamu'alaikum..

Masa berlalu begitu pantas. Seiring dengan itu, pengalaman demi pengalaman kurasai. Aku bersyukur dengan keputusanku untuk melanjutkan pelajaran di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah. Alhamdulillah, mereka-mereka yang pada mulanya aku rasa mustahil untuk aku berkawan dengan, sudah pun boleh diajak berbual. Semoga talian ukhuwah sesama kami berterusan hingga ke akhir hayat, insyaAllah. Terdapat beberapa perkara yang ingin kusentuh. Rasa-rasa akan agak panjang tulisanku kali ini.
  • Dilema Presiden
  • Ramadhan
  • Pementasan Bujur Lalu Melintang Patah
  • Kelemahan diri   
Semasa namaku dipanggil untuk ke pentas bagi mengambil alih jawatan Presiden bagi kelab Bahasa Melayu MWTI (PERBAYU), aku sudah menjangkakan pelbagai perkara. Nyata-nyata benar apa yang suara hatiku berkata. Hal mereka yang tidak puas hati, alhamdulillah sudah dapat dileraikan. Namun bagi perlaksaan tanggungjawab yang menepati keinginan ramai, masih belum terhurai.

Ramai, hatta bekas Presiden bagi kelab Perbayu telah mendekatiku dan meluahkan hasrat mereka agar kelab ini dapat 'dihidupkan' kembali seperti masa kegemilangannya suatu masa dahulu. Bukan niatku untuk menghampakan harapan mereka. Namun, seperti biasa, cabaran sering datang menduga. Buat masa ini, 2 acara yang sudah aku, naibku serta badan eksekutifku rancang, dibatalkan, atas sebab-sebab tertentu. Mudah-mudahan menjelang pertengahan atau lewat September, lerai sudahlah masalah ini. Amin.

Selanjutnya, Ramadhan. Pejam celik, pejam celik, sudah sampai pun masa yang dinanti-nantikan ramai, Bulan Ramadhan. Terkenang aku zaman tika ku berada di Bangunan Irsyad yang lama; dimana aku diarahkan sekolah untuk membuat Poster untuk ditampalkan di merata sekolah. Sungguh, pengalaman yang tak dapat kulupakan.

Sepanjang hidupku berpuasa, terutama di masa Menengah, aku pasti puasaku itu tidaklah sesempurna yang kuingini, atau lebih teruk, yang Allah ingini. Justeru, aku telah bertekad untuk merebut segala peluang yang ada pada Ramadhan tahun ini untuk beribadah selain berniat dapat mengembalikan zaman kegemilanganku, insyaAllah. Amin.

Selanjutnya Pementasan Sastera bagi Drama Bujur Lalu Melintang Patah; yang ditonton oleh pelajar-pelajar MWTI daripada Pra-U 1&2, termasuk sesetengah pelajar dari Madrasah Al-Ma'aarif Al-Islamiah.

Terus terang kukatakan, aku berasa bangga dengan kebolehan mereka menjiwai watak-watak yang diberikan serta menghafal skrip-skrip dengan penuh baik. Manakan tidak, perombakan beberapa kali berlaku pada saat-saat akhir, namun mereka berjaya juga tempuh segala ujian itu. Alhamdulillah. Syabas !

Terakhir, kelemahan yang ada pada diriku ini. Aku tidak bisa untuk mengatakan "Tidak" apabila orang meminta tolong padaku, walaupun kekadang aku tahu yang aku tidak mampu untuk melakukannya. Tatkala diminta, secara automatik akan otak aku katakan, "Tiada yang mustahil."

Selain itu, satu kelemahan yang sudah lama aku tahu ada pada diriku adalah sifat ketidaktetapan yang ada pada hati atau keinginanku; atau dalam istilah inggerisnya, fickle-minded. Kadang aku tak pasti pun sama ada keinginanku(untuk melanjutkan pelajaran) dalam suatu bidang itu adalah berteraskan saranan orang atau diriku sendiri. Apa aku buat untuk mereka, atau untuk diri aku?

Bersempena bulan yang penuh barakah ini, aku ingin meminta maaf kepada sesiapa saja baik yang kukenal mahupun yang tidak begitu kukenal. Terkadang aku tidak tahu pun mengapa aku berbuat begitu. Ya Allah, ampunilah segala dosaku, permudahkanlah segala urusanku.

Aku rasa sudah cukup panjang tulisanku ini.
Dari itu,
Assalaamu'alaikum.

No comments:

Post a Comment