Saturday, January 1, 2011

9 hari lagi.

Assalaamu'alaikum.

Jendela 2011 akhirnya dibuka. Mahu atau tidak, ia sudah pun menyambut kita dengan tangan terbuka. Ini juga bermakna kita - yang telah menduduki peperiksaan GCE peringkat O - cuma tinggal sembilan hari lagi untuk mengetahui atau mendapat keputusan kita.

Aku tahu ramai sudah pun membuat rencana akan masa hadapan mereka. Ada yang mahu ke Poly, JC dan ITE. Ada juga yang ingin ke bidang ukhrawi. Namun, aku masih belum membuat keputusan. Aku tidak sanggup bersedih jika aku tidak dapat mencapai ukur tara yang diperlukan untuk sesuatu institusi tersebut. Tambahan, aku merupakan orang yang cepat panik. Ya Allah, permudahkanlah urusanku.

Untuk mendapat 30 sebagai agregat keseluruhan pun aku tidak berani untuk membayangkan. Aku masih merasakan agregatku akan melebihi 30. Mana harus aku pergi jika perkara sedemikian berlaku? Sesal sudah tiada guna lagi. Aku harus cepat merancang.

Ada yang menyarankan agar kupergi ke rumah terbuka Poly, atau dalam istilah inggerisnya, Open house, tapi aku benar-benar rasakan Poly bukannya tempat bagiku. Aku tahu kadang kala, sesuatu yang kita suka itu merupakan perkara yang tidak baik untuk kita, begitu juga sebaliknya. Haiz, hanya Allah saja yang tahu betapa runsingnya aku tika dan saat ini.

Berbagai gambar menyambarku. Aku malu untuk berdepan dengan mereka, iaitu guru-guruku. Mereka telah mengajarku dengan sedaya upaya mereka, dengan penat lelah mereka, ditambah pula dengan gaji yang rendah. Di sini, aku ingin mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada semua guru-guru, baik yang telah mengajarku, mahupun yang belum. Aku sedar kekuranganku. Akan aku berusaha untuk menjadi insan yang lebih berguna kelak. InsyaAllah.

Pejam celik pejam celik, masanya akan juga tiba. Ya Allah, berilah aku kekuatan serta hidayahmu. Semoga aku dapat menempuhi segala rintangan, cubaan, ujian dan dugaan yang mendatang dengan tenang. Jadikanlah aku insan yang berguna di muka bumi ini.

Sampai di sini sahaja tulisanku kali ini,
Assalaamu'alaikum.

No comments:

Post a Comment