Bismillah arRohman arRohim.
Assalaamu'alaikum..
Assalaamu'alaikum..
Rasanya
sudah agak berhabuk wahana tulisan ini, dan mungkin sudah lebih kurang setahun
aku tidak menyumbang apa-apa pada blog ini.
Ada kebenaran
pada pepatah yang sering kita dengar,“Jauh perjalanan, luas pemandangan, banyak
pengalaman.”
Aku
berada di Jordan selama satu sem; lebih kurang 5 bulan. Pada masa itu aku sudahpun
memasuki kuliah, dan pada masa yang sama juga aku memilih untuk memperbaikkan
lagi bahasa Arabku dengan memasuki Markaz Lughah di Universiti yang sama juga. [Lihat: Permata; yang tidak ternilai]
[Secebis
hikmah di bumi berkah; Jordan.]
Ada yang
pelik dan terkesima apabila kukatakan yang aku cuma belajar di Jordan selama hampir
setengah tahun sahaja. Mereka hairan dengan bilangan pelajar yang aku sempat
berkenalan dengan, mentelah aku orang Singapura. Walaupun hakikatnya tidaklah begitu ramai namun aku tetap
bersyukur. Mungkin itulah hadiah Tuhan kepadaku. Banyak hikmah dan pelajaran,
serta pengalaman dapat kuraih di sana.
Pada
hari pertama saja aku sudah dilayan begitu baik oleh senior-senior daripada
Malaysia, dan hari berganti hari layanan mereka makin membuatku rasa hormat
serta segan dengan mereka, dan semestinya aku amat terharu. Dari sini mampu kubuat
kesimpulan yang menjadi seorang yang lebih senior, lebih berpendidikan dan lebih
berilmu tidak seharusnya bersikap umpama dialah yang paling berilmu sesama kita,
ataupun mula menyindir mereka-mereka yang baru berada di suatu tempat yang
mereka sudah lama berada dalamnya. Bahkan ada yang apabila aku berbincang
dengan mereka perihal agama, layanan mereka begitu sopan dan saling
menghormati. Tidak ada sebarang sifat-sifat yang seolah-olah ingin mengatakan, “Hey,
aku sudah tahulah” atau “Alah kau baru, ape tau, lek lu.”
Ya mungkin ada kadang-kadang, namun tidak selalu dan hanya segelintir mungkin yang menunjukkan sikap-sikap sedemikian.
Ketahuilah, dengan tatasusila serta tutur percakapan yang berhemah saja, sebenarnya sudah mampu membuat kami merasa rendah diri. Tidak perlu sebarang sindiran, atau kutukan dan seumpamanya hanya semata ingin menunjukkan yang kau lebih senior. Lebih kelakar mungkin apabila ada yang mentertawakan telatah si pelajar baru, dan dalam masa yang sama, lupa yang dahulunya, dia juga berperangai serupa.
[“..dan
Madinah itu lebih baik bagi mereka seandainya mereka mengtahuinya”]
Aku
kemudiannya beralih ke kota yang lebih melimpah berkahnya iaitu kota Madinah
Nabawiyyah. Allah U pernah berfirman:-
وَقُل رَّبِّ أَدْخِلْنِي
مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَل لِّي مِن لَّدُنكَ سُلْطَانًا
نَّصِيرًا
Yang bermaksud:-
Dan pohonkanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhanku! Masukkanlah
aku dalam kemasukan yang benar, serta keluarkanlah aku dengan cara keluar yang
benar, dan berilah aku daripada sisiMu kekuasaan yang menolongku(iaitu hujjah
yang jelas dan keterangan yang pasti)."
QS 17(Al-Isro’): 80
Dalam memberi tafsiran pada ayat ini, Ibn Kathir rahimahuLLah; seorang ulama' tafsir, ada membawa
beberapa pendapat, antaranya adalah seperti berikut:-
وقال قتادة وقل رب أدخلني مدخل صدق يعني
المدينة وأخرجني مخرج صدق يعني مكة .
وكذا قال عبد الرحمن بن زيد بن أسلم. وهذا
القول هو أشهر الأقوال
Yang bermaksud:-
Dan telah berkata Qotaadah: 'Masukkanlah aku dalam
kemasukan yang benar' bermakna Al-Madinah (dan) 'serta keluarkanlah aku dengan
cara keluar yang benar' pula merujuk pada Makkah, dan begitulah juga sepertimana
dikatakan ‘AbdurRohman bin Zaid bin Aslam, dan pendapat ini adalah pendapat
yang paling masyhur.
Tafsir AlQur-aan Al’Adziim oleh Ibn Kathir
Juga sepertimana
tertera di atas, itu sebenarnya adalah daripada sabda Nabi r sendiri yang berbunyi:-
" ..والمدينة خير لهم
لو كانوا يعلمون."
Yang
bermaksud:-
“..dan (sesungguhnya) Madinah itu adalah lebih baik
bagi mereka seandainya mereka tahu.”
Muttafaqun ‘alaih; AlBukhari: 1875 dan Muslim: 1388.
Belajar di universiti yang mana hampir segala
perbelanjaan berkaitan ditanggung pihak kerajaan, acapkali membuat kita lupa
nasib mereka-mereka di luar sana; yang belajar di tempat lain, yang terpaksa
menanggung kos penerbangan, tempat tinggal, bil api dan air, itu dan ini.
Pokoknya, memang tiada kesudahan boleh dikatakan.
Kadang
sedih apabila melihat rakan sebaya atau senior berbelanja sakan kemudian mengadu wang yang
diberi pihak kerajaan kepada kami sebenarnya tidak cukup, sedangkan pada aku ianya
sudah lebih daripada cukup. Bayangkan setiap bulan kami diberi sebanyak 840
riyal untuk dibelanja. Kemudian pada setiap tahun pula, setiap pelajar akan
diberikan sebanyak 1000 riyal pula untuk perbelajaan kitab. Jika kami mendapat
gred Mumtaz(seperti Excellent/Distinction) untuk dua semester berturut-turut
pula, kami akan diberi wang sagu hati sebanyak 1000 riyal sekali lagi sebagai
hadiah. Apa lagi yang tidak cukup? Bahkan aku dapat tahu ada sebahagian pelajar
yang sebaik saja menerima 840 itu, dia akan ketepikan sebanyak 500 riyal; untuk
kegunaan peribadi seperti kos pengangkutan, atau untuk membeli kitab, atau untuk menolong dan
meringankan lagi beban keluarga, atau ketiga-tiga sekali. Bayangkan 840 tolak 500, hanya tinggal 340
sahaja! Sungguh pelajar-pelajar ini banyak membuatku menambahkan rasa syukurku padaNya dan semestinya, aku tabik pada mereka.
Teringat
aku pada sebuah ayat, firman Allah U:-
فَكُلُوا مِمَّا
رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلَالًا طَيِّبًا وَاشْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ
تَعْبُدُونَ
Yang bermaksud:-
Justeru,
makanlah (wahai orang-orang yang beriman) apa yang telah Allah rezekikan kepada
kamu daripada benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat
Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya sahaja.
QS 16(An-Nahl): 114
Begitu juga sabda Nabi r:-
عن أبي هريرة، عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: لا يشكر الله من لا
يشكر الناس
Yang bermaksud:-
Daripada Abi Hurairah, daripada Nabi r
beliau berkata: Tidaklah seseorang itu (dianggap) bersyukur kepada Allah jika
dia tidak bersyukur pada manusia.
HR Abu Daud: 4811.
(Dinilai Sohih oleh Al-Albaani dan
telah ditahqiq oleh Syeikh ‘Isom Musa Hadi.)
[Ma’had Lughah dan Thanawi]
Berbeza dengan Jordan, di Universiti Islam Madinah sini,
para pelajar akan diberi dua kemungkinan; iaitu untuk masuk terus ke kuliah
serta-merta atau harus terlebih dahulu memasuki Ma’had Lughah(tempat belajar
bagi memperkasakan lagi penggunaan Bahasa Arab, umpama kursus kilat atau crash course)
atau Thanawi(tempat belajar seperti sekolah Menengah di negara kita atau
Pra-Universiti).
Aku sengaja memilih untuk memasuki Ma’had Lughah di sini
kerana aku masih belum bersedia untuk menghadapi gelombang tekanan kuliah yang
sebenar, dan aku rasa aku perlukan sedikit masa lagi untuk menyesuaikan diri, walaupun aku sudahpun menuntut di Universiti Yarmouk serta Markaz Lughah di Jordan terlebih
dahulu.
Pada hematku, kededuanya(Ma’had Lughah dan Thanawi)
adalah tempat belajar yang hebat serta baik penyusunan sukatan
pelajarannya. Walaupun aku tidak pernah memasuki thanawi di sini, aku yakin
pihak sekolah telah buat yang terbaik bagi menjadikan keluaran Thanawi ini
pelajar-pelajar yang hebat. Justeru tidak pernah terlintas di benak fikiranku
tempat belajar mana yang lebih bagus atau mana yang lebih hebat dan seumpama. Ini
kerana pertama-tama sekali, latar tempat belajar itu sendiri berbeza; yang mana satu adalah seperti
sekolah Menengah atau Pra-U, dan yang lagi satu adalah khusus bagi
memperkasakan B. Arab kita. Ia adalah seperti kita membezakan antara British Council
dan Sekolah Menengah St. Andrew’s bagi Singapura atau Sekolah Menengah Ibn
Khaldun bagi Malaysia.
Aku sendiri yang belajar di Jordan; yang mana penggunaan serta
pemilihan kata B.Arabnya lebih tinggi berbanding sini, tidak berani untuk
membezakan yang mana satu antara Markaz Lughah di Jordan dan Ma’had Lughah di
Madinah lebih baik daripada yang lain. Apa yang boleh kukatakan adalah sistem
atau sukatan pembelajaran di Universiti Islam Madinah mungkin lebih tersusun
berbanding di Universiti Yarmouk(Jordan), tapi dari segi keberkesanan dan
seumpama, tidak berani kuberkata apa-apa.
Inikan ada yang membeza-bezakan, merendah-rendahkan dan
sebagainya. Ketahuilah engkau pada hakikatnya bukanlah merendahkan kami pelajar Ma'had, tapi
merendahkan pihak Ma’had itu sendiri, serta para masyaikh (guru-guru) dalamnya!
Alangkah sombong, dangkal, cetek serta picik sekali pemikiran engkau! HadaakumuLLah!
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ
قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ
عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ
Yang bermaksud:-
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah ada puak (daripada
kam lelaki) yang mencemuh (dan merendah-rendahkan) puak lelaki yang lain,
kerana mungkin saja puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan
begitu juga puak drpd kaum perempuan bagi puak drpd kaum perempuan yang lain(agar
tidak mencemuh dan merendah-rendahkan antara satu sama lain), kerana mungkin
saja puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka..
QS 49(Al-Hujurot): 11
لا يدخل الجنة من كان في قلبه مثقال ذرة من كبر
Yang bermaksud:-
Tidaklah masuk seseorang itu ke dalam syurga bagi
siapa yang mempunyai di hatinya walau seberat zarah daripada (sifat) bangga
diri..
Dalam hadith yang sama, Nabi sambung:-
..الكبر بطر الحق وغمط الناس
Yang bermaksud:-
..sombong itu adalah menolak kebenaran dan merendahkan
manusia.
HR Muslim: 91
Hakikatnya, setiap tempat itu mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Manapun kita dicampakkan, adalah menjadi tugas kita untuk memanfaatkannya sebaik mungkin. Jika ditanya pelajar Thanawi kepada pelajar Ma’had sebuah soalan, tidak
semesti si pelajar Ma'had itu dapat menjawabnya, dan begitu juga sebaliknya. Mentelah jawapan terbaik jika tidak pasti akan jawapannya adalah Allah a'lam(Allah saja mengetahuinya) Mudah bukan? Allah musta'aan.
SubhaanaLLah, rasanya sudah agak panjang tulisanku kali ini.
SubhaanaLLah, rasanya sudah agak panjang tulisanku kali ini.
Semoga bermanfaat.
Assalaamua'laikum.
No comments:
Post a Comment