Monday, August 20, 2018

Diam.

Assalamualaikum,

Kala usia menjelang masak,
fikiran menjadi matang.
Urusan yang tidak pernah
dipandang enteng,
kini dipandang tinggi.
Hal yang selama itu
dianggap terbenam,
kini sudah terbit.
Kawan yang ditatang,
kini sudah tertumpah.
Di masa semua ingin bicara,
gabungkanlah pancainderamu itu
untuk mendengar.
Waktu lidah mereka
mundur dan menolak,
biarlah mulut ini
diam dan membisu.
Kala mereka memusing,
dan memalingkan,
dan kau terbiar
bersungkuran,
hadaplah engkau
pada Dia,
melafazkan raungan hati,

..kerana aku yakin,
yang diam itu
emas, dan
sedikit pelakunya.

- Nufail Abd. Rahman,
Singapura; 9:47 pagi.

Friday, August 17, 2018

Satu muhasabah.

Assalamu'alaikum,

Bila sudah masuk ke tahun akhir di Universiti, dan bahkan hanya berbaki 1 sahaja sem lagi, banyak sangat perkara tiba-tiba datang menerpa. Soal pelajaran, soal kerja, kahwin dan berbagai-bagai lagi. Mentelah ramai daripada kalangan kawan-kawan aku memilih untuk berkahwin mutakhir ini, atau paling kurang sudah ada perancangan perkahwinan dalam masa terdekat. Ada pula yang menghembuskan nafas terakhirnya dan bermacam lagi. 

KEPELBAGAIAN
Aku melihat kawan-kawan aku, datang dari pelbagai latar belakang dan dari berbagai-bagai sikap. Aku hargai setiap pertemuan, walaupun tidak lama, kerana aku percaya setiap pertemuan itu ada sebabnya, dan ia bukanlah kebetulan, tapi sebaliknya memang sudah tertulis. Banyak sangat yang aku belajar daripada setiap daripada mereka, walaupun mungkin aku tidak setuju dengan cara pemikiran atau manhaj yang mereka semaikan dalam diri mereka.

Antara nikmat besar yang aku dapat dan rasai adalah perkenalan aku dengan beberapa rakan-rakan Malaysia; yang mana dimulai dari Jordan, sudah mula buat aku termenung dan memikirkan kepelbagaian yang aku lihat.

Aku lihat insan-insan yang datangnya daripada keluarga mewah, tapi langsung tidak kelihatan seperti mereka punyai duit yang banyak. Kenapa aku katakan begini?, kerana yang aku lihat hanyalah sepasang baju yang dipakai mereka berulang kali, serta belanja harian mereka yang biasa-biasa saja, dan bahkan aku rasa aku lebih banyak berbelanja banding mereka. Bukan mereka tidak punyai duit, tapi memang mereka tanamkan kesederhanaan dalam hidup mereka.

Selain itu, antara yang aku paling tersentak, adalah sikap sebahagian pelajar-pelajar daripada jurusan ekonomi dan perbankan Islam. Antaranya ialah Ammar Hanapiah, seorang rakan yang mungkin aku tidak begitu rapat dengannya, tapi sudah cukup membuat aku rasa kagum, dan cukup terkesan dengan dirinya. Dia mengajarkan aku erti mendengar dan membaca melebihi percakapan. Kadang rasa malu untuk mengaku sebagai kawannya, kerana antara dia dengan aku bagai langit dan bumi. Manakan tidak, solatnya sentiasa di Masjid, solat sunnat pun rasanya tidak pernah lepas, pendiam pula tu, sedangkan aku, hmm mulut pun tak pernah nak henti. I'm still working on that, buddy.

Walaupun dia tidak banyak bercakap, dan hanya mendengar bebelan dan luahan-luahan aku tiap kali aku jumpa dengan dia, tapi aku yakin, dalam respon-responnya yang terkadang hanya terbina dalam sepatah dua perkataan, yang dia ini, punyai banyak gagasan, dan hakikatnya sudah cukup membuat aku sedar yang dirinya punyai sifat keterbukaan. Kalau aku hendak nyatakan kebaikan-kebaiknnya lagi, rasanya tidak terkira. Terima kasih kerana beri aku satu pengalaman hidup. Aku do'akan kebahagian untuk kau, sahabat.

Selain itu, antara yang aku paling kagum juga adalah sikap sebahagian pelajar-pelajar yang aku kenal yang bukan mengambil bidang-bidang yang sinonim dengan pelajar-pelajar agama lain seperti Usuluddin atau Syariah, tapi sebaliknya menjurus kepada kedoktoran atau pergigian. Antaranya ialah Azri yang aku kenal Februari lepas. Yang ini pun punyai perwatakan serupa Ammar, cuma si dia ini aku anggap sebagai Doktor Cinta atau Pakar Motivasi sambilan. Banyak juga perkara aku berbual dengannya. Walaupun aku lebih tua daripadanya, tapi dari segi ilmu mungkin dia lebih banyak. Terima kasih, sahabat.

..dan hakikatnya, ramai lagi daripada kalangan kawan-kawan aku yang seperti mereka. Punyai rupa yang menenangkan, dan sikap yang positif, tapi tidak pernah mereka memberitahu satu dunia setiap apa yang mereka laku atau kerjakan. Ada yang tiada Instagram, dan bahkan ada yang tiada Facebook pun, tapi punyai diri yang jauh lebih matang daripada aku.

Allahummahdinii.

PERKAHWINAN
Bila sudah masuk umur 25 tahun ini, mentelah di akhir semester, hendak atau tidak, terfikir juga akan soal perkahwinan. Abang-abang aku semua sudah kahwin, tapi sebenarnya aku tidak terkesan pun. Cumanya bila aku dapat tahu yang Ammar ingin berkahwin, entah macam mana rasa terkejut, dan seakan ada satu tamparan menyuruh aku untuk berkahwin juga.

Namun, seperti yang telah aku nyatakan sebelum ini mungkin, yang aku ini ialah seorang yang late bloomer. Justeru banyak sangat perkara yang aku baru mulai sedar akan peri pentingnya dalam hidup aku terutamanya. Banyak juga perkara yang aku rasa aku mahu cuba dan pergi. 

Bagi yang kerap mengingatkan aku untuk berkahwin, jangan risau, bukan aku tiada calon, cumanya aku tidak mahu fikirkan sangat soal itu selagi mana beberapa misi dan visi aku yang utama tidak tercapai lagi.

PEKERJAAN
Jack of all trades, master of none.
Mungkin itulah pepatah yang sesuai untuk aku. Banyak pekerjaan sebenarnya yang aku fikirkan yang mungkin sesuai dengan diri aku. Namun, setelah memikir panjang, insyaAllah kerja yang aku harapkan adalah sebagai pekerja sosial, dan pensyarah.

Selebihnya, aku serahkan pada Allah. Kita merancang, Dia yang menentukan.

Allahu haafiz.