Sunday, December 18, 2011

Syukur

Salam 'alaikum..

Masa berlalu begitu pantas. Pejam celik pejam celik, sudah hampir kita di penghujung tahun 2011. Tahun hadapan, lembaran baru aku dibuka. Tanggungjawab serta tekanan pasti akan menambah - hanya persoalannya berteras sama ada kita mampu menanganinya atau sebaliknya. Terdapat beberapa perkara yang ingin kukongsi bersama:-

1) Hari Nadi Furqan
2) Hari Perbayu
3) Keputusan Peperiksaan Akhir Tahun
4) BBQ/Perkhemahan 

1) Hari Nadi Furqan

Acara ini berlangsung selama tiga hari. Aku tabik kelab Nadi Furqan atas kemampuannya melancarkan acara ini. Walaupun terdapat beberapa kepincangan pada acara ini, namun aku tidaklah begitu menghiraukannya kerana aku tahu acara ini merupakan suatu acara yang boleh kukatakan agak mendadak. Tambahan pula dengan ahli exconya yang tidak begitu ramai.

Melalui acara ini, Alhamdulillah, aku telah pelajari banyak perkara. Walaupun terdapat beberapa perkara yang sudah kuketahui, namun apa salahnya jika ianya diulangi. Satu kisah yang menyentuh diriku adalah kisah di mana seorang wanita tua yang hanya menjawab dengan menggunakan ayat-ayat dari Al-Quran. Sungguh, MaasyaAllah. Sebagai contoh, tika ditanya oleh Abdullah bin Mubarak, "Bukankah diperbolehkan berbuka ketika musafir?" Wanita itu menjawab, "Dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui (Al- Baqarah 184)."

Sungguh aku kagum dengan wanita itu.

Ya Allah, muliakanlah aku dengan faham dan hafalan, sehingga aku hafal setiap ilmu dan ayat yang aku dengar.
Ya Allah, muliakanlah aku dengan memiliki suara yang bagus, sehingga orang yang mendengar ayat-ayat daripadaku bertambah iman dalam hatinya, meskipun dia berhati keras.
Ya Tuhanku, muliakanlah aku dengan rezeki yang halal. Berilah aku rezeki dari sesuatu yang tidak kuduga. 

2) Hari Perbayu

Hari Perbayu ini berlangsung selama sehari saja. Alhamdulillah ia berjalan dengan lancarnya, walaupun terdapat beberapa masalah seperti masalah teknikal. Masalah sampah sarap pun, Alhamdulillah, dapat diatasi dengan baiknya.

Diacarakan oleh Khidir dari Pra-U 1 dan Munir dari Menengah 3, acara ini dimulakan dengan bacaan Al-Quran oleh Muhammad Nabil Johari dari Pra-U 1, diikuti dengan terjemahnya oleh Hidayat dari Menengah 1. Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah seperti Permainan Balas Pantun. Formatnya tidaklah begitu formal. Cara permainannya sama lebih kurang seperti permainan Bomb. Semua kelab boleh kukatakan begitu bersemangat dalam permainan ini. Syukurku dihadapkan pada Yang Esa.

Selain itu, acara ini juga diserikan dengan peraduan-peraduan yang tidak kurang hebatnya, seperti Peraduan Spontan, Peraduan Timbang Bola Takraw bersamping, dan PERBAYU Ekspres. Sungguh, sebagai Presiden bagi kelab ini, aku amat terharu dengan sambutan yang begitu menggalakkan.

Di kesempatan ini, aku mewakili ahli-ahliku yang lain, ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas semua penyertaan kamu yang menghadiri; yang menjayakan acara ini. Sekali lagi, terima kasih. 

3) Keputusan Peperiksaan Akhir Tahun

Alhamdulillah, syukurku dihadapkan pada Yang Esa. Terus terang kukatakan aku amat terkejut melihat keputusanku. Dua hari sebelum hari mendapat keputusan itu, aku sampaikan menangis. Tidak terbayang aku apakah reaksi keluargaku jika aku benar-benar ditahan dari naik darjah. Berbagai-bagai gambaran negatif bermain di kotak mindaku. Manakan tidak, abang-abangku semuanya boleh kukatakan telah mencapai ke menara gading. Ada yang sehinggakan mendapat gred GPA sebanyak 3.8 lagi dalam kursus di Politekniknya.

Walau aku bersyukur kerana berjaya melangkah ke Pra-U2, namun aku tidaklah begitu berasa sedap hati atas keputusanku. Tidak kusangka terdapat beberapa guru yang meletakkan jangkaan agak tinggi padaku. Aku terkejut tatkala mereka mengutarakan perasaan mereka terhadap kertasku.

Ada yang mengatakan, “Nufail, you’ve got the language, but I just can’t understand what you’re trying to deliver this time.”

Ada pula, “For your case, it’s low, much lower than my expectations.”

Lebih kurang begitulah seingat aku. Bayangkan reaksi dan perasaan aku tika dan saat itu. Malu, kesal dan pelbagai lagi. Aku tak nafikan yang memang, aku tidak memberi 100% dalam ujian akhir ini. Ada kertas yang  aku sehinggakan belajar pada paginya tersebut lagi. Astaghfirullah. Pasti mereka akan merasa sedih dan kecewa  apabila melihat pengakuanku begini. Di kesempatan ini, aku ingin memohon maaf sekiranya aku ada menghampa atau mengecewakan mana-mana guruku. ‘Afwan ya Asaatizhatii. Sawfa ajtahidu ak-thar fil mustaqbal insyaAllah.

Seiring dengan topik, aku sedih melihat mereka yang tidak berjaya untuk melangkah ke Pra-U2. Aku tabik melihat kekuatan mereka dalam mengharungi dugaan ini. InsyaAllah mereka bakal kekal di Madrasah ini tahun hadapan. Selamat maju jaya ya !

4) BBQ/Perkhemahan

Perkhemahan ini berlangsung di Masjid Petempatan Melayu Sembawang. Sungguh ia merupakan suatu pengalaman yang berharga bagiku. Terasa benar ukhuwwah yang terjalin. Hanya satu masalah yang timbul pada perkhemahan ini - tanah yang lecak; berpunca dari hujan yang turun pada sebelah petang hari tersebut. Namun begitu, acara berbeku atau memanggang ayam, udang dan sebagainya tetap berjalan dengan lancarnya.

Satu pengalaman yang tak dapat kulupakan adalah saat di mana aku terlihat makhluk halus; walau mukanya tidak kelihatan. Ia berlaku dalam pukul 2 lebih pagi semasa kami sedang menjalani acara night walk.

Pada mulanya kami berjalan beramai-ramai. Tika ini, tiada apa-apa aneh yang berlaku. Namun saat ingin pulang ke Masjid, kami bercadang untuk berjalan berpasangan. Aku dipasangkan dengan Naufal; adik Nabil. Untuk ke Masjid, terdapat dua jalan – A dan B. Aku dan Naufal mengambil jalan A. Kumpulan kemudiannya memilih untuk mengambil jalan B, mengakibatkan aku dan Naufal hanya berdua di lorong A itu. Pada mulanya, memang tiada apa yang berlaku, kami hanya berbual sesama sendiri. Namun setelah beberapa minit, tiba-tiba Naufal berkata dengan nada terkejut, “Eh !” Apabila aku bertanya kenapa, dia hanya berdiam seketika dan terus menyarankan agar kami berjalan sahaja. Kami pun kemudiannya meneruskan perbualan.

Dalam lorong itu, terdapat satu bahagian di mana cahaya lampu tidak dapat menembusi belitan dahan yang melengkung.  Aku tidak berapa ingat adakah penampakan itu terlihat semasa kami melalui jalan itu atau adakah ianya terlihat setelah kami lalu bahagian itu. Apa yang kulihat adalah kain putih di hadapan sebatang pokok. Aku masih ingat lagi. Masa aku berbual dengan Naufal, tiba-tiba aku baca, “ Bismillahirrohmaanirrohim, A-‘uuzhubillahiminasy-syaitonirrojim.” Tubuhnya seakan-akan seorang yang gempal dan besar. Benar perasaan pada masa itu sungguh lain. Yang peliknya, aku tidaklah merasa sebarang perasaan takut, bahkan aku menoleh sehingga 3 kali untuk benar-benar memastikan apakah benar itu hanya kain putih atau sebaliknya.   

Setelah sampai di Masjid, aku pun menceritakanlah pengalaman aku itu dengan kawan-kawanku. Setelah beberapa minit, aku, Naufal, Hakim dan KZ bercadang untuk melihat sekali lagi lorong itu, untuk benar-benar memastikan sekali lagi apakah penampakan itu hanya berupa kain putih atau sebaliknya. Ternyata tiada sehelai kain putih pun di atas pokok yang kulihat itu.

Tatkala ingin pulang ke Masjid, kami dikejutkan oleh beberapa ekor anjing serta salakan mereka yang begitu garau tapi sedikit ganjil, membuat kami mengambil langkah seribu. Anehnya, keempat-empat kami berlari dalam kelajuan yang sama, tiada yang di belakang, tiada juga di hadapan; walau ada yang kakinya belum pulih dari kecederaan lalu dan yang matanya sedikit kabur pada waktu malam. Menakjub bukan? Kuasa Allah. Namun begitu, tiada seekor anjing pun kelihatan apabila kita menoleh ke belakang tatkala sudah penat berlari. Allahu A’lam.
                           
________________

Wah, rasanya sudah cukup panjang tulisanku kali ini.

Dari itu, 
Salam 'alaikum.

p/s: Di musim cuti ini, sementara yang lain keluar bekerja, aku di rumah. Apabila sekolah mula dibuka nanti, aku kembali bekerja.haha.. Semoga dapat kugunakan masa ini dengan perkara yang bermanfaat insyaAllah.